Sunday, 13 December 2015

Ringan tulang bantu isteri berpantang



Bagi wanita hamil antara soalan yang sering diajukan, “Siapa yang menjaga ketika dalam pantang nanti? Berpantang di mana? Rumah sendiri atau kampung?”

Kebiasaannya untuk anak pertama, ramai memilih untuk berpantang di kampung disebabkan ibu atau mentua yang dapat menjaga sepenuhnya. Namun bagi anak kedua atau ketiga, ramai wanita mengambil keputusan berpantang sendiri disebabkan anak yang sudah bersekolah dan tidak mahu menyusahkan ibu yang sudah tua.

Untuk itu, suami seharusnya mencuba untuk berada di sisi isteri walaupun mereka bekerja. Banyak perkara yang harus dilakukan sepanjang isteri berpantang kerana pada ketika ini, emosi isteri agak kurang stabil akibat beberapa perubahan pada diri dan sekeliling mereka.

Ini diakui perunding keluarga bertauliah, Prof Dr Rozieta Shaary yang menyatakan semasa isteri dalam pantang, suami perlu kuat semangat. Ini kerana ketika ini isteri sangat memerlukan suami untuk menjaganya dengan baik. Bukan sekadar fizikal, tetapi termasuk mental dan emosi.

Ada ibu yang boleh meroyan kerana sangat letih. Maklumlah, rutin harian bertukar. Tidur malam terganggu dan ibu tidak mendapat rehat secukupnya.

“Itulah sebab ada ibu yang dalam pantang sanggup mencampak bayinya kerana pada pandangan si ibu yang terlampau penat pada ketika itu, bayi itu kain buruk.

“Justeru, apabila suami prihatin menjaga isterinya, emosi isteri akan stabil kerana dia merasakan dia amat dikasihi. Ini memberi kestabilan kepada emosi anak dan satu kepercayaan yang sangat penting akan terwujud di dalam diri anak itu ‘aku dikasihi’. Ini kerana tenaga itu terpancar daripada ibu dan meresap kepada anak tanpa sedar.

Anak-anak yang merasai dia dikasihi akan mengasihi seterusnya akan mempu­nyai ketenangan dalam emosinya. Ketenangan emosi memberi kekuatan pemikiran dan ini sangat penting untuk kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.

Terdapat pelbagai panduan yang boleh diikuti suami bagi menjaga isteri sepanjang tempoh berpantang. Antaranya:

- Bangun awal
Ketika dalam tempoh berpantang suami harus bangun lebih awal daripada isteri. Jangan pula mengharapkan isteri mengejutkan anda dari tidur. Banyak perkara perlu disediakan awal seperti air mandian isteri. Rebuskan daun kayu untuk air mandian isteri. Ini kerana pada minggu pertama bersalin, isteri digalak mandi air rebusan daun ini untuk kesegaran badan. Jika tiada akar kayu atau daun, cukup sekadar menyediakan air suam untuk mandian.

- Sedia sarapan
Sediakan sarapan untuk isteri seawal mungkin, sebaiknya lepas solat Subuh. Biasanya ibu dalam pantang hanya makan roti bakar atau roti kosong bersama secawan minuman coklat.

- Mandikan bayi
Cuba belajar untuk mandikan bayi anda walaupun bayi anda masih lembut badannya. Kalau anda tiada kemahiran mandikan bayi, sekurang-kurangnya bantulah isteri, ibu atau mentua menyediakan air mandian. Bayi biasanya dimandikan dengan air suam untuk mengelak hipotermia. Pada peringkat awal, kawalan suhu badan bayi masih lemah.

- Buat semua urusan rumah tangga
Sekiranya kelahiran ini bukan kelahiran yang pertama (maksudnya sudah ada satu atau dua anak), pastikan semua urusan anak-anak anda selesaikan. Janganlah mengharap bantuan isteri yang baru melahirkan anak untuk menjaga urusan yang lain. Biarkan isteri berehat sepenuhnya. Sebaliknya anda uruskan makan minum, mandi, menyediakan pakaian sekolah sehingga menidurkan anak-anak yang lain.

- Pastikan isteri selesa
Kadang-kadang urusan remeh seperti menyediakan keperluan lain seperti sebotol air minuman berserta gelas, memasukkan tuala dalam bakul baju kotor, menyediakan pakaian bayi, majalah dan buku kegemaran isteri tidak dipedulikan suami. Sekarang anda sudah tahu ia sangat penting bagi isteri.
Sentiasa berada di sisi isteri untuk menghulurkan apa saja bantuan. Jangan sampai isteri terpaksa menjerit-jerit memanggil untuk mendapatkan bantuan sedangkan suami tertidur di depan televisyen.

- Pastikan persekitaran bersih dan kemas
Sebelum ke tempat kerja, pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas. Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh. Jangan mengharap isteri untuk membasuh dan menyidai pakaian.
Dalam tempoh berpantang, yakinkan isteri tugasan membasuh, menjemur dan mengangkat pakaian boleh dilakukan oleh anda. Setakat melipat, isteri boleh melakukannya kerana ia termasuk dalam kategori kerja ringan.

- Tunjukkan yang anda bersemangat
Sungguhpun anda letih, jangan ditunjukkan di depan isteri kerana isteri perlukan semangat untuk pulih daripada kesan melahirkan anak. Jika suami tiada semangat, sentiasa lesu dan lemah, isteri akan rasa sedih dan mungkin menggalakkan terjadinya kemurungan.

- Sentiasa ucapkan kata-kata manis kepadanya
Ya, mungkin anda juga penat melayan makan minum isteri dan juga keperluan anak yang lain. Tetapi jangan sehingga anda bermasam muka atau melemparkan kata-kata yang tidak manis untuk isteri. Bayang–kan apa yang anda lalui tidak selama-lamanya kerana ia akan berakhir sedikit masa lagi.

- Bangun tengah malam ketika isteri menyusukan bayi
Jarang suami yang bersama-sama isteri ketika isteri menyusukan bayi mereka. Apa kata sebagai tanda anda sangat menghargainya, buatkan secawan coklat panas ketika isteri menyusukan bayi. Ini akan membuatkan isteri bertambah sayang dan menghormati anda sebagai suami.

- Berdoa semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada anda, bayi dan isteri
Sentiasa berdoa semoga anda diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga isteri dan bayi anda. Sekiranya anda kurang sihat, ia akan turut menjejaskan tumpuan anda untuk membantu isteri. Pastikan anda menjaga kesihatan dengan mengambil air suam, makan makanan berkhasiat dan bersenam.

Continue Reading

Thursday, 10 December 2015

Cara Paling Manja Ajak Suami Jaga Anak & Kemas Rumah

Image result for suami jaga anak


Pernah tak rasa sangat penat di tempat kerja dan pulang ke rumah sambung pula memasak, menyediakan makanan, mengemas, menguruskan anak-anak dan rasa hati nak merintih kepenatan? Nak minta suami tolong pun, belum tentu si dia mahu. 
 
 
Jangan mengeluh, mungkin si suami rasa janggal untuk membuat kerja orang perempuan atau penat pulang dari tempat kerja. Untuk elak berlakunya salah faham, apa kata anda mencuba 5 cara paling lembut dan mesra ni, siapa tahu suami akan terus rajin membantu tanpa di minta apa lagi di paksa.
 
 
 
1. Mulakan seawal perkahwinan
Kalau baru berkahwin, elok mulakan rutin seawal perkahwinan agar terbiasa dengan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Di awal perkahwinan adalah masa yang sesuai kerana setiap pasangan mula untuk mengenali pasangan masing-masing dengan lebih dekat. 
 
Mungkin si suami tidak diasuh untuk melakukan tugas-tugas mengurus rumah oleh keluarga. Haaa.. inilah tanggungjawab anda, ajak pasangan mengurus rumah. Tapi jangan paksa, bagi dia masa. Gunakanlah perkataan “tolong” setiap kali anda meminta bantuan si suami. Elak daripada ayat yang berunsurkan mengarah atau memaksa. 
 
 
2. Serahkan tugas yang sesuai
Nak suami membantu, jangan pula kita berikan tugasan yang dia tak suka. Kenal pasti tugas yang sesuai dengannya seperti membuang sampah, membersihkan kipas dan siling, membersihkan longkang, membersihkan tingkap, kemas meja selepas makan, dan sebagainya.
 
Zaman sekarang ramai suami yang membantu menguruskan anak-anak seperti memberi makan anak, mandikan dan pakaikan baju anak-anak dan ada juga yang memasak. 
 
 
3. Jangan perli, buat bersama
Agak tengok suami macam tak yakin untuk melakukan tugas-tugas itu, awal-awal elok anda teman. Misalnya, memasak sama-sama, mengemas meja selepas makan bersama, mandikan dan pakaikan baju anak bersama. Bukan sahaja anda dan pasangan anda menguruskan rumah, malah hubungan yang terjalin antara anda berdua akan bertambah erat.
 
 
Paling penting, jangan sesekali bandingkan caranya dengan cara kita buat kerja. Mungkin suami kurang teliti berbanding anda atau sebaliknya. Terimalah seadanya dan beri masa buat suami, suatu hari nanti pasti akan biasa melakukannya.
 
 
4. Berikan ganjaran untuk semangat
Berikan hadiah atau ganjaran kepada si suami? Haa... ini akan membuatkan si suami rasa dihargai. Anda boleh memberikan ganjaran dengan memasakkan makanan kegemarannya, belanja menonton wayang atau membelai dengan urutan setelah penat membantu anda memasak di dapur dan mengemas meja makan selepas makan. Eh, tapi jangan sampai mengungkit, ya!

5. Pujilah pasangan
Ya, suami akan rasa dihargai dan buat si dia rasa rela hati untuk tolong anda kemudian hari.
 
Owh ya, jangan lupa selit motivasi padanya, walaupun si dia membantu dalam menguruskan rumah tangga, dia tetap macho dan lelaki yang gagah perkasa kerana membantu kaum hawa yang lemah. Membantu anda di rumah bukan bermakna si suami dayus atau anda 'queen control'.
 
 
Macam mana kaum wanita, agak-agak boleh tak 'pancing' suami untuk tolong kerja rumah selepas ini? Moga ada salah satu tip ini yang boleh dekatkan suami ke dapur dan kemas rumah. Bukan nak suruh buat semua, janji dia ada tolong. Itu lebih dari syukur!



semoga bermanfaat..
Continue Reading

Buat Majlis Kahwin, Jangan Sampai 'Runtuhkan' Berkat

Buat Majlis Kahwin, Jangan Sampai Runtuhkan Berkat

Cuti sekolah datang lagi. Sinonimnya cuti sekolah yang panjang, penuhlah majlis walimatulurus atau resepsi meraikan cinta uda dan dara.

Ingat ya anak muda, tak perlulah berhutang dengan mana-mana pihak semata majlis bersanding. Berbelanja ala kadar mengikut keperluan.

Semua orang tahu, walimatulurus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru. Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber mendapatkan keuntungan duniawi. Ya, buat majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa majlis meraikan pengantin memang wajar diadakan tetapi perlu diingat, tidak boleh ada unsur-unsur yang menyalahi hukum syarak.

BAB TERIMA JEMPUTAN

Kalau terima jemputan ke majlis perkahwinan, anda wajib menghadirinya kecuali ada sesuatu keuzuran. Hukum ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hukum wajib ini adalah berdasarkan syarat-syarat berikut iaitu majlis walimah itu:

1. Ada jemputan pelbagai golongan dan tidak terhad golongan yang kaya sahaja.

2. Tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan majlis tari menari atau nyanyian melalaikan.

3. Tak ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan.

4. Tak menggunakan peralatan makan dan minum daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera. 



Tujuan sebenar buat walimah, untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru memasuki alam perkahwinan. Walimah juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.” – hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi.

Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syarak. Maksud bertentangan dengan syarak adalah termasuk memeras satu pihak bagi menjayakan walimah yang dihajati oleh pihak yang lain.

Jangan ambil mudah dalam perkara meraikan majlis perkahwinan kerana ini juga menjadi punca perkahwinan sepasang pengantin tidak diberkati Ilahi dan sukar mencapai bahagia, nauzubillah. Lebih molek majlis yang mudah dan ringkas tetapi memuaskan hati semua pihak yang terlibat dan memberikan pahala, insya-Allah. 


semoga bermanfaat..
Continue Reading