Monday 7 March 2016

PERNAFASAN BETUL UNTUK MENGAWAL STRESS DAN MENCEGAH SAKIT JANTUNG

Assalamualaikum.. selamat pagi semua.. ^_^





Penyakit jantung adalah penyakit pembunuh nombor satu didunia. Di Malaysia , lebihkurang 28,000 orang setahun akan mengalami serangan jantung setiap tahun. Kita selalu di nasihatkan oleh doktor untuk menjaga pemakanan, bersenam dan pengambilan suplemen atau ubat-ubat tertentu untuk mencegah sakit jantung. Stres adalah diantara faktor risiko yang dikaitkan dengan kesihatan jantung. Faktor emosi dan psikoloji yang diakibatkan oleh stres ini amat kurang diambil perhatian oleh kebanyakan orang dalam masyarakat kita dalam usaha membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.


Faktor emosi dan psikoloji yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung adalah seperti memendam kemarahan, berdendam, putus cinta , kurang disayangi dan dikasihi, mudah berputus asa, bersikap negatifdan sebagainya. Faktor-faktor ini memberikan kesan negatif kepada tubuh fizikal dan kesihatan jantung seseorang walaupun ianya adalah kesan psikoloji dan emosi sahaja. Pernafasan yang betul adalah cara terbaik mengawal impak stres kepada kesihatan jantung. 

Apabila seseorang dilanda masalah stres yang kronik, mereka cenderung untuk bernafas dengan cara yang salah dengan tubuh menjadi kejang dan kaku. Dalam keadaan stress, seseorang akan bernafas dengan nafas yang pendek dengan kadar pernafasan yang laju dan hanya pergerakan dada tanpa melibatkan pergerakan bahagian perut atau abdomen. Seseorang yang ada masalah emosi yang sedih, stress fizikal dan mental stress akan bernafas dengan cara ini. Pernafasan yang tidak betul seperti ini jika berterusan untuk jangkamasa panjang akan mengganggu fizikal dan kesihatan jantung seseorang. Pernafasan yang baik adalah dengan pernafasan yang perlahan, berirama, sedutan nafas yang dalam dengan pergerakan abdomen yang akan menyebabkan sedutan oksigen yang maksimum.


 
Pernafasan dengan teknik yang betul adalah kaedah yang digunakan dalam banyak program mengurangkan stres. Ia adalah pelajaran yang pertama diajarkan dalam senaman yoga, meditasi dan sebagainya. Dalam bidang psikoterapi, pernafasan ‘dalam’ digunakan untuk mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran. Didalam meditasi, pernafasan dalam berpanjangan digunakan untuk mencapai ketenangan fikiran. Terdapat banyak kajian menunjukkan, semasa bermeditasi, tekanan darah akan turun,degupan jantung akan perlahan, stres akan berkurangan dan fikiran menjadi tenang. 

Kajian yang dijalankan di Harvard Medical School yang banyak membuat kajian tentang pernafasan dan ketenangan fikiran dengan memberikan istilah “Respon Kerehatan”(The Relaxation Response)yang menunjukkan keadaan fizikal yang rehat dan tenang yang melawan kesan fizikal dan emosional semasa stres. Kajian ini mendapati semasa mengamalkan pernafasan dalam dan menenangkan fikiran, secara fizikalnya akan berlaku penurunan tekanan darah, degupan jantung yang lebih perlahan, kadar pernafasan yang lebih perlahan dan otot-otot akan mula merehat atau relaks. Berlaku juga peningkatan paras nitrik oxida yang membantu melancarkan peredaran darah keseluruh tubuh. Keadaan ini berlaku semasa senaman yoga, taichi, chi-gong dan meditasi. Jika kita benar-benar khusyuk dalam solat, keadaan yang serupa juga akan berlaku. 

Menurut kajian oleh Harvard Medical School, 60 hingga 90 peratus pesakit yang berjumpa dengan doktor adalah kerana aduan penyakit atau kesakitan akibat stres seperti sakit kepala, sakit badan, sakit pinggang, sakit belakang, sakit sendi dan otot, rasa tidak bermaya, keletihan yang melampau, rasa mudah marah, tekanan perasaan, darah tinggi, sindrom pra-haid, sakit dada, buang air tidak lawas dan sebagainya. Oleh kerana itu, jika seseorang mengamalkan teknik pernafasan dan menenangkan fikiran dengan meditasi ini akan membantu mengurangkan gejala-gejala masalah akibat tekanan dan stres dalam kehidupan seharian. Menurut pendapat pengkaji dari Harvard ini, teknik pernafasan yang betul mampu menurunkan risiko mendapat serangan jantung untuk kesan jangkamasa panjangnya. 


 
Anda boleh mengamalkan teknik tradisional (yoga, taichi, chi-gong, bertapa) atau teknik meditasi moden untuk mencapai ‘respon kerehatan’ ini. Anda juga boleh mengamalkan teknik yang mudah seperti yang saya terangkan. 

• Duduklah dengan selesa, kemudian tutup mata. 

• Longgarkan otot-otot badan anda dari kaki hingga ke kepala. 

• Seterusnya bernafaslah melalui hidung dengan perlahan-lahan dan tumpukan kepada pernafasan anda. Semasa menarik nafas anda boleh membuat kiraan secara perlahan-lahan atau anda boleh berzikir menyebut nama Allah. 

• Lakukannya selama sepuluh atau dua puluh minit bergantung tahap stres anda dan juga tahap kemahiran anda. 

• Anda boleh membuka mata untuk melihat jam dan selepas selesai duduklah sebentar dan jangan terus berdiri. Jangan amalkan teknik ini selepas makan kerana ia perut yang terlalu kenyang akan mengganggu konsentrasi dan ketenangan fikiran.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan menangis dan ketawa juga baik untuk kesihatan jantung. Menangis dan ketawa kedua-duanya amat berkaitan dengan pernafasan seseorang sebagai reaksi kepada situasi dan keadaan yang berkenaan. Semasa menangis atau ketawa, pernafasan seseorang akan berubah dan mengikut rentak tertentu. 





Kajian mendapati, semasa seseorang menangis atau ketawa otot jantung akan menjadi kurang tegang dan lebih relaks. Sedu-seduan semasa menangis akan menambahkan oksigen dalam darah dan meningkatkan pengambilan oksigen oleh sel-sel tubuh. Menangis akan menurunkan tekanan perasaan dan kekecewaan, oleh itu ia akan menurunkan tahap stres seseorang. Seseorang yang mampu mengekspresi perasaannya akan lebih mudah mengawal stres dan amat baik untuk kesihatan jantung. Kajian terbaru mendapati, seseorang yang memendam perasaan akan meningkatkan risiko penyakit jantung berbanding seseorang yang lebih mudah meluahkan perasaannya melalui tangisan atau ketawa. 



Keadaan yang serupa apabila seseorang ketawa atau tersenyum kerana tindakbalas dari suatu situasi yang mengembirakan. Dengan ketawa akan menurunkan stres dan tekanan darah. Ketawa juga akan menambahkan kandungan oksigen dalam darah kerana kadar pernafasan bertambah, diafragma dan otot pernafasan akan bergerak dengan lebih baik. Ketawa juga boleh mengendurkan tekanan perasaan dan inilah yang dikatakan sebagai ‘ketawa adalah ubat yang terbaik’. 

Hakikatnya faktor emosi dan psikoloji adalah faktor yang penting yang menyumbang kepada kesihatan jantung dan perlu juga diambil kira dalam usaha kita untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. 



Walahualam



Dr Norman Mohd Norawi
Continue Reading

Sihir Ikat Suami Bagi 'Lekat' Di Rumah

Assalamualaikum..

Sihir Ikat Suami Bagi 'Lekat' Di Rumah



Isteri dicipta dari tulang rusuk suaminya. Bukan dari kaki untuk dijadikan alas dan bukan juga dari kepala untuk dijunjung.


Sebaliknya, dekat dengan bahu untuk dilindung dan dekat juga dihati untuk dikasihi. Kelembutan isteri bukanlah kelemahan, bukan juga penghinaan tetapi hiasan untuk kecantikannya.  



1. Ambil berat penampilan suami
Ada suami gemar bila isteri memberi lebih perhatian terhadap hal-hal remeh berkaitan dirinya seperti mencadangkan baju apa yang hendak dipakai,  mengemas tali lehernya, mengelap kasut, memotong kuku dan macam-macam lagi. Walaupun hakikatnya dia bukanlah jenis yang begitu tetapi tak salah jika anda hendak mencuba sesuatu yang baru demi memeriahkan lagi rumah tangga.


2. Terus bergerak kalau dipanggil
Pernahkah anda dipanggil suami ketika sedang melakukan kerja-kerja rumah. Apa respons anda ketika itu? Bagi menyenangkan hatinya, segeralah tinggalkan pekerjaan dan tunaikan apa yang dikehendakinya. Pasti senyumnya melebar hingga ke telinga.
 

3. Teman suami makan
Jadi tanggungjawab isteri untuk melayan suaminya dengan baik. Menghidangkan menu kegemarannya adalah satu bonus tetapi alangkah lebih bagus sekiranya anda juga duduk menemaninya makan. Pernah diceritakan, Thabit al-Banni berkata, “Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya terhadap suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan. Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk dijadikan sumbu. Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada suami.”


4. Sediakan tempat tidur VIP
Kamar tidur bukan setakat menyimpan rahsia rumah tangga bahkan menjadi medan untuk keduanya mencurah perasaan. Oleh itu, amatlah penting menjadikan kamar tidur ini eksklusif dan kreatif. Dekorasilah dengan warna-warna yang menjadi kegemaran suami bagi mengikat perasaannya terhadap anda.


5. Cara bermanja
Perlu dibezakan antara manja dan mengada-ngada. Suami suka kepada isteri yang pandai bermanja tetapi belum sampai ke tahap mengada-ngada. Isteri yang manja bukan setakat mendapat apa yang dihajatinya bahkan menyenangkan perasaan suami sekali gus membuatkan ingatan suami hanya tertumpu kepadanya. Kelak, takkan adalah kisah munculnya gangguan orang ketiga.
Continue Reading