Tuesday 12 January 2016

Demi Masa Depan, Tak Rugi Pun Kalau Mengalah!

Assalamualaikum..


 Tak Rugi Pun Mengalah. Kata Nak Jernihkan Keadaaan...


Mengalah bukan bermakna kalah, ini tanda anda lebih menyayangi orang tersayang. Ya, ramai menganggap orang yang mengalah itu tertekan, teraniaya dan tertindas. Hakikatnya anggapan sebegini tidak sesuai dinilai pada kehidupan berumah tangga. Terlalu kompleks untuk dimaknakan dengan kekalahan bahkan ia menunjukkan keagungan jiwa yang bersedia berkorban untuk orang tercinta.


Ramai suami menganggap mengalah itu lemah. Mereka amat suka melihat wajah isteri tunduk merelakan diri dikuasai. Inilah hakikat kejantanan lelaki yang mahu diperakui sebagai pemimpin dan pelindung, penjaga dan penguasa cinta. Wanita yang cukup memahami sifat-sifat alami lelaki sebegini mudah menjerat balik dengan cara lembut lagi halus tanpa disedari suami.


Di sebalik penyerahan diri, sebenarnya dia sedang merancang menundukkan nafsu suami. Wanita suka mengalah kerana dia akan mendapat pulangan lumayan dari perbuatannya itu. Suami akan lebih mempercayai dan mengasihi wanita yang secara bulat menyerahkan segalanya untuk suami. Begitulah falsafah cinta dalam rumah tangga, agak abstrak dan mengarut bahkan tak masuk akal kerana ia cukup menggunakan hati dan perasaan tak lebih daripada itu.


Isteri yang suka mengalah dan tak mahu berdebat walaupun dia di pihak benar seolah-olah dipandang sebagai perempuan bodoh padahal justeru dia sebenarnya telah memenangi hati suami. Tidak rugi sebenarnya elak perselisihan pandangan dan perbezaan kemahuan. Ini cukup menjimatkan masa dan menjernihkan keadaan. Berbanding dengan sentiasa bertelingkah dan berbeza pandangan, berlagak siapa lebih kuat hujahnya siapa yang lebih berpengaruh ideanya.


Rumah tangga bukan dewan rakyat atau perbalahan parti politik yang tak ada habisnya. Rumah tangga cukup sederhana. Sesekali ada yang di atas dan ada bersedia di bawah secara rela.


Bagi suami yang suka mengalah pada isteri sewajarnya diberi pengiktirafan tertinggi sebagai suami pelik yang cukup berani melawan arus adat.  Mungkin tohmahan sebagai suami lemah dan takut isteri akan dilontarkan masyarakat tanpa mahu mempertimbangkan bahawa suami mengalah itu adalah sunah Nabi s.a.w. Sebagaimana bunyi hadis Rasulullah s.a.w ini, baginda telah bersabda:


“Daku menjamin sebuah rumah di pinggir syurga bagi orang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong sekalipun hanya bergurau, dan rumah di atas syurga bagi orang yang mulia akhlaknya.” [Sunan Abi Daud, hadis hasan]


Mengalah itu kunci syurga, bukan tanda kelemahan! Maka berlumba-lumbalah mengalah kepada pasangan kita, tak kira suami atau isteri mesti menjadikan janji dan jaminan Nabi s.a.w ini sebagai satu matlamat perjuangan dalam perkahwinan.


Bukan senang berjihad dalam rumah tangga, kadang-kadang isteri sering menangis, merungut dan kecewa dengan layanan suami. Sedangkan suami juga tidak terlepas daripada ujian di medan pencarian nafkah, terpaksa ditentang musuh, difitnah dan dikhianati.


Isteri mesti sedia membantu meringankan ketegangan suami, apabila suami pulang membawa kesedihan akibat terlalu stres tidaklah isteri berasa terkejut dan terhina menjadi mangsa kemarahan suami kerana dia sedia faham ada masanya angin bertiup lembut dan sesekali juga ribut melanda.


Suami perlu melepaskan tekanannya dan ia amat sakit diterima oleh isteri yang terpaksa mengalah. Namun begitu suami perlu belajar memahami emosinya yang mudah bergolak. Suami seharusnya menghindari gejala kerosakan yang disebabkan oleh jenayah lidah.



semoga bermanfaat..

0 Comments:

Post a Comment

Terima Kasih atas komen anda.